Saturday, August 27, 2011


Soalan yang harus ditanya adalah: “ADAKAH ANDA SEORANG SAHABAT?” , bukannya “Kenapa dia bukan seorang sahabat yang baik?”.


Kita perlu menimbang semula perangai kita sendiri sebelum kita menilai dan menuding jari kepada orang lain. Kalau tidak, maknanya sia-sia sahaja orang tua membuat peribahasa “Mengata Dulang Paku Serpih”!

Saya adalah saya. Saya suka memikirkan yang diri saya ini mempunyai pendirian saya sendiri. Sebab itu adalah diri saya, maka saya tidak suka membenarkan diri saya senang dipengaruhi oleh orang lain, terutamanya oleh orang yang “perasan dia sempurna”.

Namun, ini bukanlah bermakna saya seorang yang tidak boleh menerima kritikan yang membina. Sepanjang hidup saya, saya cuba untuk berubah kearah kebaikan sedikir demi sedikit dan cuba menjadi insan yang baik di sisi Allah, dengan perkataan kuncinya adalah CUBA.

Apabila saya dikritik atau pun mungkin ditegur, saya cuba memikirkan, apakah yang telah saya lakukan yang menyebabkan saya menerima kritikan atau teguran itu? Benarkah saya begitu? Itu soalan-soalan yang saya tanyakan pada diri sendiri. Sebab inilah Allah mengurniakan otak kepada kita, untuk berfikir, untuk bermuhasabah. Jangan hanya ada otak, tapi tak menggunakannya. Otak itu lah yang membezakan antara manusia dan binatang. 


Selepas menemui jawapan yang mungkin betul, mungkin salah, saya akan cuba berubah kearah kebaikan. Namun, benarlah, saya hanya manusia, bukannya Tuhan. Jika mencari kesempurnaan, ia tidak akan ditemui dengan manusia. Manusia mudah lupa dan mudah khilaf. Siapalah kita untuk menuduh orang lain begitu begini? Baiklah kita menilai kembali diri kita sendiri, bukannya menuding jari ke muka orang lain. 

Sahabat adalah insan yang penting disamping keluarga kita sendiri. Namun bukan semua orang di sekeliling kita boleh dipanggil sahabat. Kerana kita manusia yang tidak mengetahui isi hati manusia lain, maka adalah lebih baik jika kita berhati-hati dengan orang lain. Jangan terlalu mudah percaya segala percakapan mereka. Mereka menipu, mana kita tahu? Saya pernah berjumpa ramai manusia yang berjanji bulan dan bintang, namun akhirnya mereka mungkir janji. Bukankah mungkir janji itu salah satu ciri orang munafik? Mahukah kita tergolong dalam golongan itu? Moga-moga saya dan anda pembaca tidak termasuk ke dalam golongan tersebut!

Apabila sahabat kita menghulurkan bantuan atau pertolongan kepada kita, kita perlu faham bahawa bukanlah maksudnya untuk kita menyanjung-nyanjung budinya itu. Tapi, bukankah ada peribahasa yang berbunyi, “Orang Berbudi Kita Berbahasa”? Perlukah kita menyakiti hati orang yang pernah menolong kita suatu masa dahulu dengan perkataan yang melukai hati, semata-mata kerana kita berasa geram dan sakit hati dengannya? Ke mana perginya budi bahasa kita sendiri? Sebelum menuduh orang, moleklah kiranya kita menilik dahulu diri kita sendiri. Apakah yang pernah kita lakukan kepada sahabat kita itu? Kalau kita tidak mahu menganggap dia sahabat, anggaplah dia seorang hamba Allah yang perlu kita hormati. Sebelum orang menghormati kita, kita perlu menghormati orang. Adakah kita pernah bergurau secara kasar dengan dia, adakah kita terlalu mementingkan diri sendiri dengan dia, etc. Semua itu telah dipelajari dalam mata pelajaran Adab, kalau tidak, malu lah kita bila kita mengatakan yang kita ini sempurna dan tiada salah, sedangkan kita lupa untuk menimbang kelakuan sendiri. Rugilah kita jika kita merasakan kita ini insan terpilih yang bakal masuk syurga sedangkan kita sendiri tidak pasti dari tangan mana kita akan mengambil buku amalan kita di akhirat kelak.

Apa yang kecil bagi kita, mungkin besar bagi orang lain. Kita boleh berkata – “Oh, no big deal!”; tapi pernahkah kita berfikir dan menilik adakah kelakuan kita disenangi orang itu? Untuk difahami, kita perlu memahami orang lain. Jangan pukul sama rata orang dengan kita. Sebab itu kita di cipta Allah. We should celebrate and embrace our differences. Bukannya menghakimi orang dan mahukan orang mengikut acuan kita. Terima orang seadanya. Jika kita ditegur, disindir, hatta dikritik sekalipun, fikir sedalamnya, apakah itu salah aku atau dia sengaja mencari kesalahan aku? Jangan mudah dipengaruhi oleh orang lain.

Sedutan daripada artikel - Sahabat Dunia Akhirat: 

 “Sahabat yang baik membahagiakan kita di dunia dan membantu kita di akhirat kelak.


 Sifat-sifat sahabat yang baik:
1.       Memiliki akhlak dan budi pekerti yang baik. Seorang yang disenangi, mempunyai akhlak yang baik, berbudi pekerti dan mematuhi perintah Allah. Sering juga mengajak kita melakukan kebaikan untuk diri dan masyarakat. Berbicara dengan kesopanan dan kelembutan.
2.       Menutup keburukan dan kekurangan sahabat, baik semasa sahabat ada atau tiada. Tidak menceritakan keaiban orang kepada sahabatnya dan jika dia melihat sesuatu tidak baik tentang diri kita, dia akan menjaga aib tersebut.
3.       Memperbesarkan kebaikan yang sering dilakukan oleh sahabatnya. Sering menanyakan tentang kesusahan yang kita hadapi kerana ingin berkongsi kesusahan, kesedihan dan kesenangan bersama. Menjadi penghibur di waktu kita sedih dan pelindung jika kita memerlukan. Sanggup mengorbankan masa, harta dan tenaga untuk memenuhi hajat sahabatnya.
4.       Menyebut kebaikan. Jika dia mendapat sesuatu kebaikan daripada kita, dia akan menghargai dan menyebut-nyebut kebaikan itu. Tidak pula dia berkecil hati jika kita tidak mampu membantunya.
5.       Mudah mengalah. Jika berlaku salah faham, nescaya dia akan senang mengalah untuk menjaga hubungan.
6.       Mendorong kita untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Saling nasihat menasihati untuk hal dunia dan akhirat. Bersedia menerima nasihat dan menasihati.



Sahabat yang perlu dijauhi:
1.       Mementingkan diri sendiri.  Dia terlalu banyak meminta dan sedikit memberi. Mementingkan diri sendiri dan kedekut dalam setiap perkara. Keutamaannya ialah nafsu diri sendiri kerana tamak pada kemewahan dan harta dunia.
2.       Pengampu. Setiap perkara yang kita lakukan dia akan bersetuju, tidak kira betul atau salah. Apabila di hadapan dia memuji, apabila di belakang kita, dia merendahkan dan mungkin mengkhianati kita.
3.       Pemboros dan suka hiburan.
4.       Membuatkan kita semakin jauh dari Allah. Seorang yang sesat lagi menyesatkan orang lain mendekati jalan-jalan kemungkaran. Hidupnya penuh ranjau dan onak yang membawa kepada kekufuran.
5.       Suka berbantah-bantah. Jenis orang yang suka bertikam lidah dan ia sentiasa merasakan satu kemenangan dalam hujah dan tidak mahu  mengalah untuk menerima pandangan orang lain.

BERHATI-HATILAH MEMILIH SAHABAT KERANA IA MENJADI CERMIN KEPERIBADIAN KITA. BERKAWANLAH KERANA ALLAH UNTUK MECARI REDA-NYA!”







No comments:

Post a Comment